|
Tanggapan Muslimin menyangka akan berlaku al-fitan dan kerosakan; berleluasanya kekufuran dan kejahatan menguasai segenap permukaan alam merupakan satu tasawwur yang perlu diperbaiki. Fajar akan menyinsing tidak lama lagi. Jahiliyah perlu dan pasti dilunturkan dan diruntuhkan di bawah kekuatan yang dimiliki Islam. Sebagai manusia yang punya iman, wajib kita yakin dengan janji Allah SWT.
Sepertimana janjiNya di dalam surah at-Taubah, ayat 32:
“Mereka hendak memadamkan cahaya allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tidak menghendaki melainkan menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).”
Sikap berputus asa, keluh-kesah dan fenomena yang menimpa umat Islam belakangan ini perlu dikikis dan diperangi secara tuntas. Kita seharusnya optimis dengan usaha yang dilakukan bagi mencapai janji Tuhan. Sesungguhnya Muslimin punya kekuatan yang tiada pada manusia lain. Penegakan Daulah Islam yang pertama di Madinah meninggalkan banyak kesan yang mendalam dan menusuk hati tiap yang bergelar Islam pada zahir dan batin.
Gerakan dan cara yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW menjadi panduan kepada Muslimin hari ini untuk bersama-sama membina masyarakat Islam. Perlu diyakini bahawa marhalah dakwah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW merupakan ‘Rabbani Taujih’ (panduan dari Allah SWT) yang diberikan kepada Rasulullah SAW sehingga Islam berdiri dengan gahnya di atas muka bumi ini. Dengan berbekalkan pengalaman itu, Muslimin perlu mengatur langkah bersama-sama membina masyarakat Islam.
Apabila kita berbicara soal membina masyarakat Islam, ia bukan sekadar membina sudut fizikal dan materi semata-mata. Ia lebih dari itu. Pembinaan ruh Islam lebih diutamakan dalam menjana kemajuan masyarakat Islam itu sendiri. Melihat perkembangan generasi umat manusia dewasa ini, hampir di seluruh benua di dunia ini dianuti oleh penganut Islam. Jumlah yang ramai ini merupakan satu aset besar dalam memartabatkan kembali ketamadunan Islam membina masyarakatnya dari semua dimensi. Ini adalah nikmat yang perlu kita syukuri.
Jamaluddin al-Afghani pernah berkata kepada rakyat
Gerakan shabab (pemuda-pemudi) merupakan tunggak yang harus memainkan peranan utama dalam memastikan agenda ini tercapai.
Ingatlah kata-kata Saidina Umar kepada sahabatnya: “Impikanlah” Seorang pemuda pernah berkata: “Aku mengimpikan sekiranya negeri ini dipenuhi dengan emas lalu aku infakkan pada jalan Allah. “ Umar berkata lagi: “Impikanlah.” Seorang pemuda berkata: “Aku mengimpikan jika negeri ini dipenuhi dengan batu permata lalu aku infakkan pada jalan Allah.” Umar berkata lagi: “Impikanlah.” Mereka berkata: “Kami tidak tahu apa yang hendak dikatakan wahai Amirul Mukminin.” Umar pun berkata: “Tetapi aku mengimpikan rijal seperti Abu Ubaidah bin al-Jarrah, Muasz bin Jabal dan Salim, hamba Abu Huzaifah. Lalu aku meminta pertolongan dari mereka untuk meninggikan kalimah Allah SWT.”
Inilah sebenarnya modal utama untuk kembali memerintah dunia. Seorang pemuda yang beriman dan berjihad menegakkan syiar Islam lebih berharga dan bernilai dari seisi dunia. Justeru, pemuda inilah yang akan berjuang sehingga tertegaknya Dinul Islam ini. Tidakkah kita mahu menjadi salah seorang dari gerakan pemuda Islam ini bersama-sama membina masyarakat Islam? Berpeganglah dengan kata “kalau bukan kita, siapa lagi? Dan kalau tidak sekarang, bila lagi?” Tepuk dada, tanyalah iman.