“Kau telah menempuh semua tahap pelajaran dan tinggal satu ujian sahaja lagi. Kalau kamu boleh menjawabnya beeerti kamu lulus,” kata tok guru.
“Baik tok, apa soalannya.”
“Kamu cari orang atau makhluk yang lebih hina tahapnya daripada kamu. Tok beri kamu tempoh tiga hari untuk kamu mencarinya.”
Setelah itu pemuda tersebut meninggalkan pondok untuk melaksanakan tugas dan mencari jawapan atas pertanyaan gurunya.
Hari pertama, pemuda itu bertemu dengan pemabuk yang hampir setiap hari mabuk. Pemuda itu berkata dalam hati, “Hmmm… inilah orang yang lebih rendah martabatnya daripada aku. Aku telah beribadah berpuluhan thun sedangkan dia terus mabuk.”
Tetapi sesampainya dia di rumah, timbul pertanyaan di dalam fikirannya, “Belum tentu sekarang orng itu mabuk, tapi siapa tahu pada akhir hayatnya ALLAH s.w.t memberi hidayah, manakala aku yang sekarang baik dan banyak beribadah tetapi pada akhir hayat nanti tidak seperti ini. Bermakna dia belum tentu lebih hina daripada aku.”
Hari kedua, pemuda itu keluar rumah lagi dan bertemu dengan seekor anjing yang sangat menjijikkan. Bulunya kusut dan tubuhnya penuh dengan kudis.
Pemuda itu berfikir di dalam hati, “anjing ini haram, menjijikkan dan penuh kudis…
Maknanya ia lebih hina daripada aku.”
Pemuda itu berasa amat gembira kerana telah mendapat jawapan atas pertanyaan gurunnya. Sebaik selesai solat isyak dan ketika merebahkan tubuh untuk tidur, pemuda itu tiba-tiba terfikir, “anjing itu kalau mati habislah halnya. Ia tidak diminta atau ditanya tentang tanggungjawabnya atas perbuatannya oleh ALLAH, sedangkan aku akan diminta dan ditanya akan tanggungjawab yang sangat berat kalau aku berbuat banyak dosa akan masuk neraka kelak. Hmmm… maknanya keadaan aku tidak baik daripada anjing itu.”
Hari ketiga, di mana pemuda itu menghadap tok gurunya.
“Sudah dapat jawapannya?” Tanya gurunya.
“Sudah tok,” jawab pemuda itu. “Ternyata orang yang paling rendah martabatnya ialah saya.”
Mendengar jawapan pemuda itu, gurunya tersenyum, “kamu lulus.”
Pelajaran yang dapat kita petik ialah, selama kita masih sama-sama hidup kita tidak boleh sombong atau berasa lebih baik daripada orang dan makhluk lain. Yang berhak sombong ialah ALLAH s.w.t kerana kita tidak tahu bagaimana akhir hidup kita nanti. Maka, dengan demikian kita akan belajar berprasangka baik terhadap orang atau makhluk lain yang sama-sama telah diciptakan oleh ALLAH. Kalaulah semua manusia mempunyai sikap seperti pemuda tersebut, alangkahnya indahnya hidup ini…